Wednesday 27 April 2011

APA ITU SIASAH SYARIYYAH ???



PERKENALAN KEPADA SIASAH SYARIYYAH 

Menurut bahasa

Dari segi bahasa perkataan siasah itu bermakna cara dan bentuk sesuatu perkara yang dilaksana dan diuruskan. Perkataan siasah dalam bahasa Arab pula membawa makna “Tadbiru Al-Syaie Wal-Qiamu Alaihi Bima Yuslihuh”; maksudnya: “Mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kebaikan kepadanya”. 

Pengertian lain bagi siasah, ia merupakan keadaan, corak atau cara pemimpin jama'ah mengendalikan urusan jama'ahnya untuk mencapai tujuan dan matlamat jama'ah itu atau mendapatkan maslahat bagi orang-orang yang menjadi anggota jama'ah itu. 

Perkataan Syari`yyah pula berasal dari perkataan “Syari`at” dalam bahasa Arab, yang dalam penggunaan biasanya diertikan sebagai ‘sumber air minum atau pembawaan yang jelas’. Perkataan ‘Syari`yyah’ juga dipakai oleh al-quran dalam banyak ayat antaranya ada yang bermaksud sebagai peraturan hidup yang terkandung dalam suruhan dan larangan dan ada juga yang bermaksud seluruh ajaran agama yang merangkumi aspek keimanan, perundangan dan akhlak. 

Menurut Istilah : 

Para fuqaha mentakrifkannya sebagai: “Tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzu’nya.” Dalam penakrifan lain mereka berkata: “Menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak.” 

Siyasah syar`ieyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum daulah Islamiah dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama’ mujtahidin 



PERGANDINGKAN PERKATAAN SIASAH DAN PERKATAAN SYARIYYAH. 

Imam Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya “At Thuruq Al-Hukmiyah” yang memetik kata-kata Ibnu Aqil seperti berikut: Mengenai penggunaan Siasah Syariyyah; bermaksud: “Dalam urusan pemerintahan, terdapat pandangan yang menyatakan keharusan beramal dengan prinsip Siasah Syariyyah”. Ini merupakan pendapat yang kukuh diperakukan oleh empat mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi. 

Mengenai pengertian Siasah Syariyyah Ibnu Aqil menyatakan; “Siasah Syariyyah ialah apa-apa tindakan manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan”, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasulullah S.W.A dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan. 

Sementara Ibnu Najin pula mentakrifkan sebagai; “Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang putus, (qatai) mengenainya”. 

Daripada definasi-definasi di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip Siasah Syariyyah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan serta larangan untuk menjaga kepentingan umum itu mestilah berasaskan kepada pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang ditekankan oleh Ibnu Najin dalam takrifnya, “Limaslihatin Yaraha” kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya. 

Ketika membicarakan bidang kuasa dan hak pemerintah ini, Dr. Mahmud Al-Khalidi dalam kitabnya “Qawa’id al-nizam al-hukmi fi al-Islam” menyatakan; para sahabat juga telah sepakat menyatakan bahawa melaksanakan peraturan-peraturan yang didukung oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah (ketua negara). 

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...