Wednesday 27 April 2011

PENGENALAN KEPADA IMAN



Apakah yang dikatakan sebagai Iman menurut istilah bahasa dan istilah syara’ ? 

Iman menurut Istilah bahasa :

Iman dalam bahasa arab bermaksud ‘membenarkan’ atau ‘sesuatu kepercayaan yang kukuh’. Daripada istilah bahasa Iman ialah membenarkan sesuatu secara pasti dan tidak menerima perubahan atau pembatalan dengan disertai kepatuhan yang sempurna padanya. 

Perkataan Iman berasal daripada kata akar al-Amn yang bermaksud aman damai tanpa rasa takut. Daripada kalimah ini, lahirlah perkataan al-Iman yang membawa erti mengiktiraf dan membenarkan. 

Menurut Ibn Manzur dalam kitab Lisaan al-Arab, iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan. Ulama bahasa Arab dan yang lainnya telah sepakat menyatakan bahawa pengertian Iman adalah percaya dan membenarkan. 

Menurut kamus dewan iman dikatakan sebagai kepercayaan adanya Allah SWT dan mematuhi segala perintah-Nya. Menurut Muhammad Farid Wajdi, iman ialah membenarkan secara menyakinkan dan disertai oleh perbuatan. 

Menurut Dr Yusuf Musa pula menyatakan “ iman atau akidah ialah kepercayaan dalam diri yang menenteramkan jiwa dan memenuhi kalbu, baik ia merupakan kepercayaan keagamaan yang bersumberkan wahyu atau berupa keyakinan politik atau sosial. 

Iman menurut Istilah Syara’ :

Manakala Iman dari segi istilah syara’ adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW secara jazam. 

Menurut Imam al-Ghazali mendefinisikan iman ialah pengakuan dengan lidah, membenarkan di dalam hati, dan melaksanakan dengan anggota-anggota. 

Takrif yang paling tepat bagi pengertian iman ialah apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika menjawab pertanyaaan Jibril a.s. berkenaan iman, Islam dan ihsan. Baginda mentafsirkan pengertian iman dalam hadis yang panjang yang telah diriwayatkan oleh Umar al-Khatab r.a ketika baginda disoal oleh malaikat Jibril a.s. 

Maksud hadis : 

Jibril a.s. berkata : “ beritahulah aku makna iman!.” Baginda menjawab : “bahawa kamu beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari Qiamat, dan kamu beriman kepada qada’ dan qadar-Nya, yang baik dan yang buruk-Nya.

Perbahasan makna Iman menurut pandangan ulama : 

Para salaf al-saleh telah mentakrifkan iman sebagai “ membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota tubuh badan”. Imam al-Bukhari menyatakan berkenaan iman dalam sahih al-Bukhari dalam Kitab Iman tulisannya. “ iman itu adalah perkataan dan perbuatan, ia bertambah dan berkurang. Ibn Hajar menyatakan, maksud perkataan iman ialah mengucapkan dua kalimah syahadah, manakala perbuatan termasuk perbuatan hati iaitu iktikad dan perbuatan anggota iaitu mengerjakan segala amalan ketaatan kepada Allah SWT. 

Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi menjelaskan lagi dengan kenyataannya di dalam buku Iman dan kehidupan, “ kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku, dan perbuatan seharian”. 

Kesimpulannya, iman yang hakiki adalah kepercayaan yang kukuh dan teguh dalam hati berkaitan kewujudan dan kekuasaan Allah SWT, kewujudan makhluk-makhluk ghaib ciptaan Allah terutamanya malaikat-malaikat Allah, penurunan kitab-kitab Zabur, Taurat, Injil, dan al-Quran serta suhuf-suhuf ,pengutusan rasul-rasul, hari Qiamat, dan membuahkan amalan ketaatan ,kecintaan dan perjuangan di jalan Allah SWT. 

Peringkat-peringkat iman : 

Iman taqlid

Iman taqlid ialah beriman mengikut orang lain tanpa sebarang hujah yang menyokong keimananannya. Contohnya apabila ditanyakan “ apakah buktinya Allah itu ada ?” dia menjawab : “ semua orang kata ada saya pun kata ada”. Bagi orang yang masih beriman taqlid, imannya masih tidak sah disisi Allah SWT tetapi orang yang berada di tahap akalnya yang tersangat bodoh, maka para ulama’ berpendapat imannya sah diperingkat taqlid. 


Iman ilmu

Iman ilmu ialah beriman berdasarkan ilmu dan fikiran serta tidak terlekat di hati. Imannya kuat bertunjang di akal bukan di hati. Dia sudah mampu menangkis dan berhujah menghadapi ideologi luar daripada Islam. Dia memiliki fikiran tauhid yang unggul dan mantap tetapi masih tidak mampu melawan hawa nafsu dan ajakan syaitan. Mereka mampu dan petah menyampaikan mesej Islam tetapi tidak kuat untuk mengamalkannya. Tahap imannya sudah sah tetapi belum menjaminnya untuk selamat daripada api neraka. 


Iman A’yaan


iman A’yaan ialah Iman yang di dalam hati. Iman A’yaan ialah peningkatan iman dan ilmu yang diamalkan secara konsisten dan dalam keadaan penuh yakin. Setiap perintah Allah yang wajib dan sunat dilaksanakan bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan. Perkara haram dan makhruh dijauhi. Walaupun begitu mereka kadang-kadang terjebak juga dengan dosa-dosa kecil, tetapi cepat-cepat bertaubat kepada Allah. Sudah terbina dalam peribadi mereka akhlak yang indah dan pengalaman syariat yang kuat. 

Iman Haq

Iman haq ialah iman sebenar yang terlepas daripada nafsu dan syaitan. Mereka sentiasa bersama-sama Allah. Hati dan fikiran mereka dipenuhi dengan rasa kebesaran dan kehebatan Allah SWT dan sentiasa khusyuk terhadap-nya. Hati mereka tidak terpaut dengan dunia dan tidak dapat dilalaikan oleh hawa nafsu dan syaitan. 
Iman hakikat 

Iman hakikat ialaha iman tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Hati mereka kekal menmgingati Allah SWT sama ada ketika jaga mahupun tidur. Ibadah, akhlak dan perjuangan mereka sangat hebat. Golongan ini terdiri daripada para nabi dan rasul. 

Kesan iman dalam kehidupan : 

Dr muhammad ahmad al-khatib menyatakan bahawa antara kesan iman kepada kehidupan manusia ialah : 

a) Membebaskan manusia daripada perhambaaan sesama manusia. 

b) Membebaskan akal manusia daripada segala bentuk keraguan, tahyul dan khurafat. 

c) Memiliki kebebasan dan kemuliaan. 

d) Membentuk sifat istiqamah dalam jiwa. 

e) Menyemai semangat berkorban. 

f) Menyuburkan jiwa yang patuh dan bertanggungjawab. 

g) Memberikan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. 

h) Membangukan kejayaan dan kecemerlangan hidup. 


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...