Wednesday 27 April 2011

SISTEM FARAID ILMU YANG DILUPAKAN..



Setiap yang bernyawa pasti menemui mati. Bagi yang beragama Islam, apabila berlaku kematian, tiga perkara yang perlu diselesaikan segera oleh waris adalah menunaikan amanah atau wasiat, menyelesaikan hutang piutang dan menuntut serta membahagikan harta si mati yang ditinggalkan.

Oleh sebab itulah, amat penting sekali umat Islam mempelajari Ilmu Faraid ini. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. sendiri telah memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan ilmu ini.

Baginda bersabda:

"Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka."

                     (Hadith riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas'ud r.a.)

"Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku."

                   (Hadith riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a.)

Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Nabi itu. Ilmu Faraid merupakan satu ilmu yang telah dilupakan oleh masyarakat Islam kita pada hari ini. Cuba kita tanya diri kita sendiri, adakah kita tahu ataupun mahir dengan Ilmu Faraid?

Jika diteliti masih ramai waris yang beragama Islam tidak begitu memahami jumlah dan batasan hak untuk mewarisi harta mengikut syarak / pembahagian faraid. Pada hal, cara pembahagian harta pusaka bagi yang beragama Islam sememangnya sudah difirmankan oleh Allah dalam surah An-Nisa ayat 10-14.

Berdasarkan pengalaman yang saya lalui dan melihat kepada realiti pengamalan hidup masyarakat sekarang , rata-rata kebanyakan mereka memang tidak mengetahui akan ilmu ini. Ada yang tak tahu langsung, ada yang tahu sedikit sahaja, ada juga yang pernah belajar tapi dah lupa. Dan kebanyakan mereka kata tak perlu ambil tahu sangat, bila perlu nanti boleh tanya saja para ustaz dan tok-tok imam.

Tapi sedarikah anda bahawa ramai juga ustaz-ustaz dan tuan-tuan imam yang tak tahu bab ilmu faraid ini. Bila ditanyakan kepada mereka, biasalah jawapan standard mereka: "Dulu ada belajar, tapi dah lupa." Kalau tak percaya, cuba hari ini anda pergi ke masjid atau ke pejabat agama, rasanya tak ramai yang dapat memberikan jawapannya secara jelas dan terperinci. Kalau tahu pun, seorang dua saja kat situ.

Disini bukanlah saya ingin memperkecilkan mereka. Ini satu realiti @ kenyataan dan meyakinkan kita bahawa hadith Rasulullah s.a.w. itu memang benar dan sudah menjadi suatu kenyataan! Faktanya : Ilmu Faraid dah dilupakan!

Mungkin ada yang bertanya: Apa kesan dan akibatnya jika umat Islam tidak memahami atau mendalami Ilmu Faraid ini ?

Lihat apa yang berlaku dalam realiti pengurusan harta pusaka umat Islam di negara kita pada masa kini yang telah menimbulkan begitu banyak masalah. 
Sedarikah Anda? Terdapat lebih daripada 1 juta kes tuntutan harta pusaka tertunggak di Mahkamah dengan nilai komersil kini mencecah RM40 BILION yang mana 90% daripadanya merupakan harta orang Islam. 

Antara sebab mengapa permasalahan ini berlaku adalah kurangnya tunjuk ajar, kefahaman, pendedahan mahupun pengetahuan kepada masyarakat Islam di negara ini mengenai hukum syarak yang berkaitan dengan pembahagian harta melalui sistem Faraid, sehinggakan ada kalangan waris yang mempersoalkan perkara yang terlalu asas mengenai faraid. 

Persoalan mereka kenapa perlu mengikut faraid, kenapa pemberian dua bahagian kepada anak lelaki, satu bahagian kepada anak perempuan, hak suami, hak isteri lain yang bercerai mati, hak ibu bapa mertua, baitulmal, saudara lelaki dan saudara perempuan.

Ada pula yang sanggup menidakkan hak orang lain yang sepatutnya berhak mewarisi harta si mati semata-mata mengikut hawa nafsu duniawi, maklumlah tidak mengetahui ilmu berkenaan. Yang paling menyedihkan, oleh kerana tidak berpuas hati dengan bahagian yang diwarisi berdasarkan penentuan mengikut pembahagian faraid ada waris yang sanggup menuduh cara pembahagian itu tidak pernah ada dalam ajaran Islam.

Bahkan ada waris yang bertelingkah pendapat dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka si mati kerana kadangkala diberikan penjelasan yang tidak tepat atau kurang jelas oleh golongan agamawan seperti imam, penghulu, ketua kampung atau masyarakat sekeliling.



KESIMPULANNYA :

Saya mencadangkan supaya tokoh agama dan penceramah agama yang diundang untuk memberikan ceramah di masjid, surau atau di majlis yang bersesuaian supaya tidak melupakan topik pembahagian harta mengikut faraid di dalam siri ceramah mereka kepada semua umat Islam tanpa mengira peringkat umur, jantina, pangkat dan kedudukan sama ada di bandar atau di luar bandar. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri diharapkan agar menjadikan topik pembahagian harta pusaka mengikut faraid sebagai satu isi teks kutbah Jumaat di masjid negara ini. Amat membanggakan sekiranya ilmu faraid dapat dijadikan satu subjek dalam sukatan pelajaran Pengetahuan Agama Islam di peringkat sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Ini kerana topik itu kurang diberikan perhatian dan semakin dilupakan berbanding isu nikah kahwin, ekonomi umat Islam, perpecahan ummah, ibadah, Rukun Islam dan Rukun Iman yang sering kali disampaikan oleh tokoh dan penceramah agama. 

Ini penting supaya setiap orang tahu pecahan bahagian ataupun had dan batasan yang sebenarnya boleh dituntut dari segi syarak dalam mewarisi harta pusaka tanpa mengenepikan hak orang lain. Jika semua masyarakat Islam walau pun hanya mengetahui pada peringkat asas saja mengenai pembahagian faraid harta pusaka, ini akan memudah serta melancarkan urusan perbicaraan dan pengeluaran perintah pembahagian harta pusaka si mati. 








Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

2 comments:

  1. hal faraid ini ramai diantara kita tidak mengambil berat dan menganggap ianya hal remeh temeh..mereka merasakan hukum faraid ini tidak releven...dan mencipta syariat dengan mengikut hawa nafsu mereka...

    ReplyDelete
  2. ye memang betul tu...ramai diantara masyarakat kita sudah jauh dari syariat..kalo nak disebut bukan sahaja ilmu faraid yang telah dilupakan tetapi banyak lg perkara yang telah diabaikan..pegangan mereka makin pudah terhadap agama Islam..ramai yang menolak Islam tanpa mereka sedari...semoga umat islam kembali ke panngkal jalan...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...