Friday 6 May 2011

Kaedah Pengiraan dalam Pembahagian Harta Pusaka




Apakah susunan yang mesti dipatuhi dalam pengagihan harta pusaka kepada ahli-ahli waris menurut Syari’at Islam?


Harta peninggalan si mati hendaklah diagihkan kepada ahli-ahli waris yang berhak mengikut susunan di bawah;

1. Dimulakan dengan ashabil-furudh. 
2. Kemudian ‘ashabah. 


3. Jika terdapat baki/lebihan –dan tiada ‘ashabah untuk mengambilnya- maka baki/lebihan itu dikembalikan/ dipulangkan kepada ashabil-furudh nasabiyah mengikut kadar saham mereka.

4. Jika tiada ashabil-furudh dan tiada ‘ashabah, harta akan diberikan kepada zawil-arham. Begitu juga, jika ada baki/lebihan dan tiada ‘ashabah untuk mengambilnya serta tiada ashabil-furudh nasabiyah untuk dikembalikan kepada mereka, maka lebihan itu diberikan kepada zawil-arham.

5. Jika semua kelompok waris di atas tiada (termasuk zawil-arham), maka harta akan diserahkan kepada Baitul-Mal.

Apakah langkah-langkah pengiraan yang perlu dilalui dalam pembahagian harta pusaka?
Setelah harta di tolak hutang-hutang dan wasiat yang berkait dengannya, langkah pertama (dalam proses pembahagian harta pusaka) ialah menyemak ahli-ahli waris yang berhak mewarisi harta tersebut iaitu dengan menyingkirkan orang-orang yang ditegah dan yang terhadang (mahjub). Jika ahli waris yang berhak mewarisi hanya seorang sahaja, maka diberikan kepadanya keseluruhan harta pusaka itu. Namun jika ahli-ahli waris adalah ramai, maka hendaklah diikuti langkah-langkah berikut;

Pertama: Tetapkan terlebih dahulu bahagian-bahagian untuk ashabil-furudh jika terdapat ashabil-furudh dalam masalah/kes.

Kedua: Pastikan angka asas pengiraaan (mengikut kaedah-kaedah yang akan kita jelaskan nanti)

Ketiga: Tentukan saham bagi setiap ahli waris. Cara penentuan saham adalah seperti berikut:

a)Bagi ahli waris dari ashabil-furudh, sahamnya ditentukan dengan cara membahagikan angka asas pengiraan dengan angka pembawah bagi pecahan fardhnya (yakni bahagiannya) dan hasilnya didarabkan dengan nombor pengatas bagi pecahan tersebut.

b)Bagi ahli waris dari kalangan ‘ashabah pula, sahamnya ialah baki setelah ditolak saham-saham ashabil-furudh di atas. Jika bilangan ‘ashabah ramai, baki tersebut dibahagikan mengikut bilangan mereka dan hasilnya adalah saham bagi setiap mereka.

Keempat: Bahagikan harta peninggalan dengan angka asas pengiraan, maka hasilnya merupakan nilai satu saham dari harta peninggalan atau harta pusaka.

Kelima: Darabkan jumlah saham setiap ahli waris dengan nilai satu saham tersebut, maka hasilnya merupakan habuan setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati.

Keenam: Langkah di atas jika ahli-ahli waris semuanya ashabil-furudh atau sebahagian ashabil-furudh dan sebahagian lagi ‘ashabah. Adapun jika semua ahli waris adalah ‘ashabah belaka, maka asas pengiraan ialah jumlah keseluruhan ahli-ahli waris jika mereka lelaki sahaja atau perempuan sahaja. Namun jika bercampur lelaki dan perempuan, maka asas pengiraan ialah bilangan ahli waris perempuan di campur dengan gandaan bilangan ahli waris lelaki. Kemudian, untuk mengetahui habuan setiap ahli waris dari harta peninggalan, bahagikan harta peninggalan dengan nombor asas pengiraan. Hasilnya merupakan habuan bagi setiap ahli waris perempuan. Untuk mendapat habuan bagi lelaki pula, darabkan hasil itu dengan dua.

Apakah yang dimaksudkan dengan angka asas pengiraan (أصل المسألة)?

Angka asas pengiraan atau usul masalah ialah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dikeluarkan darinya saham-saham ahli waris dengan hasil bulat tanpa pecahan.


Bagaimana caranya menentukan angka asas pengiraan (أصل المسألة)?

a) Jika sekiranya waris seorang sahaja, tidak perlu dicari asas pengiraan kerana tidak ada pembahagian yang perlu dilakukan. 

b) Jika ahli waris adalah ramai dan semuanya ‘ashabah, maka jika lelaki kesemuanya, asas pengiraan ialah jumlah bilangan ahli waris yang ada. Jika bercampur lelaki dan perempuan, asas pengiraan ialah bilangan perempuan dicampur dengan dua kali bilangan lelaki.

c) Jika sekiranya di kalangan ahli waris yang ramai itu terdapat ashabul-furudh (yakni orang-orang yang memperolehi bahagian tetap) atau kesemuanya ashabul-furudh, maka asas pengiraan ialah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dibahagikan dengan setiap pembawah bagi pecahan-pecahan yang ada. Contohnya; jika pecahan-pecahan yang ada ialah ½, 1/3 dan 1/6, maka asas pengiraannya ialah 6, kerana angka 6 adalah nombor gandaan sepunya terkecil yang dapat dibahagikan dengan semua pembawah/penyebut pada pecahan-pecahan tersebut iaitu; 2, 3 dan 6. 

Untuk memastikan nombor gandaan terkecil tersebut, perlu diperhatikan nisbah (kaitan) antara angka-angka pembawah pada pecahan-pecahan yang ada sama ada ianya tamathul (yakni saling menyamai) atau tadakhul (saling memasuki) atau tawafuq atau tabayun. 

Senaraikan angka-angka asas pengiraan dalam ilmu Faraid hasil penelitian ulamak?
Angka-angka asas pengiraan dalam ilmu Faraid tidak lari dari tujuh angka berikut ; 

a)Dua (2)

b)Tiga (3)

c)Empat (4)
d)Enam (6)
e)Lapan (8)
f)Dua belas (12)
g)Dua puluh empat (24)
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

2 comments:

  1. mengenai pembahagian dan mengiraan harta faraid ini, kita masih ketandusan para ilmuan dalam membawa kewajiban hukum faraid dalam dunia kehidupan masyarakat ialam....masih ramai diantara kita masih tidak ketahui akan tuntutan faraid ini dan mereka melaksanakan mengikut cara mereka sendiri..maka timbullah ketidakadilan dan permusuhan akibat harta yang tidak diberi mengikut hukum agama..ayuh.sama2 kita mengembalikan ilmu faraid dalam hidup orang muslim

    ReplyDelete
  2. ye betul 2...kebanyakkan masyarakat kini tidak mengambil peduli dgn ilmu ini..mereka lebih suka mengambil jalan mudah untuk membahagikan harta pusaka dengan kadar sama rata tanpa mengutamakan sistem faraid terlebih dahulu...moga2 kita bersama2 memahaminya dan mempelajarinya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...