Tuesday 7 June 2011

TUTUPLAH AURAT SEBELUM MATA TERTUTUP.... ( Bhg 1 )


Assalamualaikum.......

Dalam artikel kali ini alif hadir untuk menjelaskan perihal satu masalah aurat dan keperluan menjaga pandangan yang selalu diambil mudah dan sering dipandang sebagai suatu fenomena biasa terutamanya oleh kebanyakan remaja kini. Mereka beranggapan seolah-olah perkara yang dilakukan itu tidak menjadi suatu kesalahan di sisi Agama Islam. Andaian saya mengatakan bahawa semua remaja dan setiap individu Islam yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu memahami erti aurat dan bagaimana cara-cara menjaganya, lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan ada juga diantara mereka  memang seseorang terlibat secara langsung dalam mendalami dan mengajarkan ilmu Agama Islam. 

Kadang-kadang kita lihat golongan yang memahami inilah yang telah melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Lihatlah realiti dunia sekarang  disekeliling kita, semakin mudah untuk kita melihat remaja Islam berpeleseran dengan memakai seluar pendek yang membuka aurat walaupun berada di khalayak ramai, ada juga yang gemar berbaju ketat sehinngga menampakkan bentuk badan dan fesyen pakaian yang keterlaluan sehinnga tidak mempamerkan ciri-ciri pakaian orang Islam. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga.

Jika di lihat antara faktor terjadinya perkara di atas, adalah pengabaian remaja dalam perkara-perkara yang melibatkan tentang aurat mereka. Ini ditambah dengan pengaruh asing dalam dunia fesyen yang mudah mempengaruhi kaum wanita hingga meminggirkan soal-soal agama. Kita tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syara' perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini. Jadi kita sebagai Muslim yang bijak haruslah pandai memilih corak pemakaian kita menurut kehendak syara' dari kita mengikut fesyen yang menambahkan kecacatan kita sebagai orang Islam. Justeru, sebagai peringatan bersama marilah kita menghayati bagaimana yang dikatakan menutup aurat mengikut cara Islam yang sebenar. 

Definisi Aurat :

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)


PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh allah s.w.t  yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada allah dan rasulnya. Sesungguhnya allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji) (Surah al-ahzab ayat 33)

Dalam hal ini allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani.  ( surah al-ahzab : 59 )

Dalil mewajibkan bagi menutup aurat melalui firmanNya :

Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.( Surah al-A`raaf 7:31)


 Rasulullah (S.A.W) bersabda:
  • “Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram.” (Hadith Riwayat Aththahawi
  • Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?’ Nabi saw menjawab, “Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu.” (Hadith Riwayat Bukhari)
  • “Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)
  • Maksudnya:( Tidak diterima sembahyang (seseorang perempuan) itu yang haid akan tetapi (diterima) dengan menutup kepala.)  ( Hadith riwayat an-Nasi' )
  • Maksudnya: ( Wahai Asma' Sesungguhnya apabila seseorang perempuan telah baligh, Tidak boleh diperlihatkan ini dan ini. Sambil mengisyaratkan kearah muka dan tapak tangan. ) Hadith Riwayat Abu Dawud ) 
  • Mu'awiyah bin Haidah mengatakan: "Aku pernah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab: "Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?" Baginda menjawab: "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan ia pun tidak boleh melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: "Ya Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab: "Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain" . ( Hadis riwayat Iman Ahmad dan Abu Dawud )

Syarat –Syarat bagi menutup aurat:

1. Wajib menutup aurat dengan menggunakan kain yang tebal (tidak terlalu nipis): Maka wajib      menutup dengan menggunakan kain yang berwarna jelas (tidak warna yang seolah-olah menampakkan tubuh atau warna kulit).

Mazhab Syafie berpendapat:

2. Syafieyyah dan Hanabalah mensyaratkan: Pakaian yang menutup aurat itu perlulah secara menyeluruh (tidak ada lubang-lubang atau yang sebagainya). Dan ini bermakna tidak memadai hanya dengan berkain tebal dan berwarna jelas.

3. Dan perlu juga menutup pada bahagian sisinya (disebalah kanan dan kiri).


Batasan-batasan aurat :


A. Aurat di khalayak awam : 

1. Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak.

2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.

B. Aurat dengan ahli keluarga 

1. Bagi Lelaki, antara pusat dan lutut

2. Bagi perempuan, antara pusat dan lutut.


C. Aurat sesama jantina (dengan syarat tiada fitnah) 

1. Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut

2. Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut

*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.


D. Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)

1. Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan  yang wajib ditutup.

2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut


Etika menutup aurat 

1. Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya

2. Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya. 

3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.

4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.


KESIMPULAN

Di antara tujuan berpakaian itu, ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian-bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian yang semakin nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Justeru itu, tutuplah aurat dan berpakaianlah mengikut akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

8 comments:

  1. tahniah...entri kamu lebih terperinci..
    saya baru sahaja ditag oleh rakan blog mengenai kempen tutup aurat..
    insyaAllah, itu entri terakhir saya..
    sejuk hati melihat semakin ramai blogger berusaha berdakwah..teruskan.. :)

    ReplyDelete
  2. tahniah kembali tqaroslan....entri anda juga penuh dgn sentuhan iman...moga dakwah Islamiah tetap terus berkembang..dan semoga maju jaya dgn perjuangan anda.. :)

    ReplyDelete
  3. Entry sangat mendalam dan bermanfaat..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...