Sunday 5 June 2011

Keanjalan fiqh Islam


ARKIB : 02/06/2011
0leh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

ALIRAN fikiran fiqh atau mazhab fiqh yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran-ajaran di dalam sumber hukum utama iaitu al-Quran dan al-sunnah yang tidak bersifatdefinitive atau qatie.

Perbezaan mentafsirkan dalalah al zan atau dalil-dalil yang tidak muktamad menyebabkan munculnya perbezaan pandangan ini. Pendekatan berbeza diambil oleh imam-imam juga menyebabkan pandangan yang dikeluarkan itu berbeza.

Perkara yang demikian dapat difahami kerana pendekatan yang berlainan seperti mementingkan zahir lafaz berbanding maksud lafaz, terlalu berhati-hati atau terlalu memudahkan.

Terdapat juga kalimah-kalimah di dalam nas-nas mempunyai beberapa makna serta keyakinan terhadap sesuatu periwayatan hadis berbanding hadis yang lain.

Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki menjadi ikutan khalayak awam dalam persoalan-persoalan fiqh.

Sebenarnya perbezaan pandangan yang menjurus kepada pertumbuhan mazhab-mazhab fiqh ini adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam itu sendiri.

Namun pertikaian mazhab ini seringkali disalah ertikan oleh masyarakat umum. Ia kadangkala menjadi sumber perpecahan umat Islam. Tidak kurang juga daripada lipatan sejarah kita dapati umat Islam bersengketa kerana perbezaan pandangan. Oleh itu, perspektif yang betul di dalam menyelusuri landskap perbezaan pandangan ini perlu difahami oleh masyarakat Islam.

Umat Islam perlu memakai lensa hukum syarak apabila berhadapan dengan perbezaan pandangan ini kerana di dalam agama lain perbezaan yang ketara berlaku sehingga tidak mengakui golongan yang lain termasuk di dalam agama mereka. Ia amat berbeza dalam Islam.

Umpamanya solat Jemaah di Masjidil Haram ketika ini diimamkan oleh seorang imam sahaja berbanding suatu ketika dahulu solat jemaah ini dilakukan mengikut imam mazhab masing-masing di penjuru masing-masing. Kesepakatan bersolat jemaah dengan seorang imam sahaja menganjak paradigma para ulama agar dapat bersatu di dalam hal-hal agama yang lain.

Namun hakikatnya umat Islam sendiri sering terkeliru dengan senario ini. Tidak hairanlah kedengaran suara-suara yang bimbang dengan perpecahan ini dan mahu membebaskan umat Islam daripada pegangan mazhab.

Rasional kebimbangan ini dikatakan disebabkan mahu menyelamatkan umat Islam daripada terus berpecah. Lakaran pahit sejarah seperti peristiwa pertumpahan darah yang dimulakan oleh puak Khawarij seringkali dijadikan dalil kepada pandangan ini. Mereka mahukan agama itu dilaksanakan tanpa dipateri dengan pandangan mana-mana mazhab.

Seharusnya mazhab merupakan institusi pendidikan aliran fiqh bagi mentafsirkan dalil-dalil syariah. Ia merupakan metodologi fiqh untuk mengeluarkan hukum yang mana masih belum disepakati lagi.

Pandangan mazhab ini adalah sebahagian daripada syariah Islam bukan syariah Islam itu sebahagian daripada pandangan bermazhab. Asas pandangan aliran fiqh ini sebenarnya adalah bertitik tolak daripada keyakinan imam dalam berijtihad.

Namun jika terbukti ijtihad tersebut tidak lagi sesuai mengikut keadaan setempat atau semasa dan terdapat dalil yang lebih kuat, maka ijtihad tersebut boleh ditolak.

Hal ini amat jelas kerana tidak disyaratkan oleh mana-mana mazhab mengikut segala ijtihad dalam sesuatu mazhab tetapi harus berpindah ke mazhab lain dalam masalah tertentu.

Walau bagaimanapun ikutan tersebut hendaklah diasaskan kepada dalil-dalil yang menjustifikasikan seseorang itu beralih ke mazhab lain.

Ia tidak hanya dilakukan semata-mata mencari perkara yang mudah berlandaskan nafsu atau sampai membawa kepada talfiq yang dilarang.

Begitu juga ikhtilaf ulama ini tidak wajar dilihat daripada perspektif perpecahan di kalangan umat Islam tetapi hendaklah dilihat daripada lensa keanjalan undang-undang Islam yang membawa kepada dinamiknya hukum syarak itu yang sesuai mengikut tempat dan zaman.

Ia juga melambangkan keluasan fakulti pemikiran ulama silam dalam ilmu fiqh yang bersungguh-sungguh menimba khazanah ilmu Islam.

Sumber dari :

Buka Minda, Buka Hati, Kenali diri dan fahami Agama....

Renung-renungkan dan selamat beramal.........
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...